Ziarah Amal JKKK bersama Masjid
Ziarah Amal
Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga.
Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah saw dalam hadis-hadis di bawah ini:
Abu Hurairah ra meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari & Muslim]
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim]
Daripada Ali ra, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]
Antara adab-adab menziarahi pesakit ialah;
a- Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw.
b- Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.
c- Bertanyakan tentang ibadatnya; solat dan lain-lain, sekiranya dia tidak mampu ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai.
d- Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya.
e- Pendek dan jarakkan waktu ziarah, jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya. (kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya).
f- Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.
Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah saw agar dia cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan;
((أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لا شِفَاءَ إِلا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا))
“Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. [HR Bukhari]
لاَ بَأْسَ، طَهُورٌ إِنْ شَاءَ الله
“Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”. [HR Bukhari]
Rasulullah saw bersabda: “Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu:
أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ.
Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau”. (tujuh Kali). [HR At-Tirmizi dan Abu Daud]
Doa Jibrail kepada Nabi saw ketika Baginda sakit:
بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ…
“Dengan Nama Allah aku menjampikan mu dari semua perkara yang menyusahkanmu…” [HR Ibn Majah]